Friday, February 17, 2012
Aura Selebriti ABPBH
DI gelanggang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke25, mereka bersaing sesama sendiri, namun apabila di luar, empat finalisnya iaitu Eja, Tasha Shilla, Izara Aishah dan Nur Fathia kelihatan cukup mesra seolaholah sudah kenal lama.
Begitu juga dengan bintang baru, Miera Leyana, yang turut diundang memeriahkan sesi fotografi khas ini.
Buktinya, sewaktu sesi fotografi di Rafflesia Pearl Centre, di ibu negara petang semalam diadakan, tiada sedikit pun jurang kelihatan antara mereka.
Tidak perlu untuk mendabik dada siapa paling berbakat atau siapa lebih jelita, kerana kesemua wanita anggun ini mempunyai kelebihan tersendiri. Walaupun kesemuanya anak seni yang menceburkan diri dalam bidang lakonan, namun itu tidak bermakna mereka kerap berjumpa.
Sesekali dipertemukan dalam sesi fotografi seperti ini, peluang itu digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk saling bertanya khabar antara satu sama lain.
Ternyata persaingan dalam majlis anugerah yang menjadikan undian peminat sebagai pengukur populariti bukanlah penyebab untuk mereka saling bermasam muka atau mendabik dada bahawa akulah yang hebat atau lebih dikenali.
Seronok melihat keterujaan masingmasing apabila berjaya menempatkan diri sebagai finalis ABPBH2011. Dengan tubuh dibaluti busana indah serta dilengkapi set mutiara mewah tajaan Rafflesia, kesemua wanita ini tampak cukup bergaya, sekali gus menterjemahkan perasaan gembira terhadap penghargaan yang diberi.
Sebagai seorang yang boleh dianggap kakak dalam industri ini, Eja begitu dihormati pelakon yang boleh dianggap masih hijau dalam industri.
"Seronok kerana walaupun kami berlainan generasi, tapi antara kami tidak ada perbezaan. Sewaktu fotografi ini, tak sangka yang saya jumpa Izara yang suatu ketika dulu saya pernah suruh jadi pelakon.
"Masa itu dia kecil lagi. Kebetulan saya berkawan baik dengan ibunya. Bila dia tegur saya, barulah saya teringat peristiwa itu," imbas Eja yang cukup anggun mengenakan busana tajaan Riffai.
Ketepikan seketika siapa patut menang atau siapa yang tidak, sebaliknya acara petang itu lebih banyak berkisar pada perasaan mereka yang pertama kali dicalonkan sebagai finalis. Bukan calangcalang artis berjaya membolosi senarai akhir, namun aura yang ada pada diri masing-masing membuatkan nama mereka dipilih.
Bercerita mengenai persediaan, ternyata semuanya tidak mahu kalah gaya pada malam kemuncak nanti, apabila mereka sudah pun mempunyai pereka pilihan yang akan menaja busana pada acara yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, 8 April ini.
Antara yang cukup teruja ialah pelakon yang mula dikenali menerusi drama Gemilang, Tasha.
"Ini kali kedua saya berpeluang ke malam kemuncak ABPBH. Kalau tahun lalu tiada siapa kenal saya, tapi kali ini situasinya berbeza. Penampilan saya malam itu lebih vogue. Saya suka dengan gaya sebegitu," katanya sambil menguntum senyum.
Sumber: Berita Harian
Senarai Lengkap Pengacara, Penyampai Trofi dan Artis Yang Bakal Membuat Persembahan.
No comments:
Post a Comment