SUKAR dan mencabar, tetapi itulah watak yang diingini Nora Danish selama ini dalam bidang lakonan setelah sekian lama tidak tampil di layar lebar.
Keyakinan untuk menerima watak sedemikian pula kian menjelma selepas dia membintangi drama Tentang Dhia, yang dianggapnya lebih mematangkan persembahan dirinya dalam lakonan.
Terbaru, Nora bakal memegang watak utama sebagai Arlisa dalam filem Aku Terima Nikahnya, terbitan MIG.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini menganggap, watak isteri yang terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan rintangan bagi mengembalikan ingatan suaminya, Johan (lakonan Adi Putra), suatu watak yang amat mencabar keupayaan dirinya. Penampilannya dalam filem itu juga dirasakan mampu mengubah tanggapan peminat terhadap kebolehannya di depan kamera.
Berbekalkan pengalaman sebagai isteri dan dugaan dihadapi dalam berumah tangga sebelum ini membantunya menjiwai lagi watak itu.
"Saya meletakkan kedukaan hidup dan pengalaman sebagai isteri sebagai rujukan membawakan watak ini. Ia watak berat pertama saya dalam filem dan pada 2012 ini, saya berazam untuk memainkan watak lebih serius.
"Tidak salah memberi persepsi berbeza kepada pelakon komedi seperti saya. Drama Tentang Dhia pula nyata memberi impak tersendiri, memberikan kelainan kepada persembahan saya, daripada kelakar kepada serius," katanya.
Berasakan banyak cabaran yang perlu ditempuhi dalam filem terbabit, terutama dalam permainan emosi, Nora menganggap inilah peluangnya mempelbagaikan corak lakonan agar tidak dilihat klise.
Mahu terus dilihat sebagai pelakon berkarakter, Nora akan memberikan tumpuan kepada watak sedemikian pada masa depan dan tidak lagi menerima watak komedi.
"Saya suka pelbagai watak dan rasanya sudah cukup selama ini saya dikenali dengan watak komedi.
"Memang susah nak lakonkan watak cerita cinta kerana ia banyak bermain dengan emosi dan memerlukan penghayatan mendalam. Kali pertama berlakon dengan Adi, sudah cukup membuatkan diri saya gementar," katanya.
Menganggap Adi sebagai pelakon yang mempunyai aura dan berkarisma berbanding pelakon lelaki lain, membuatkan Nora ada kala hilang fokus dan gugup.
"Dia berkarisma sehinggakan saya menggigil ketika melakonkan babak di bilik tidur dalam drama Tentang Dhia," katanya yang akan terbabit dengan penggambaran drama 28 episod arahan Erma Fatima bulan depan.
Filem lakonan Nora:
* Senario: Pemburu Emas Yamashita
* Gila-Gila Pengantin Popular
* Jangan Pandang Belakang Congkak 2
* Cuti-Cuti Cinta
Drama lakonan Nora:
* Puteri
* Pendekar 5
* Sumpah Bunian
* Tiga Serumah
* Putera Katak
* Arjuna
* Khurafat The Series
* Tentang Dhia
* Ariana Mikhail
0 comments:
Post a Comment