Friday, February 17, 2012
Raja Azura: Berhenti Berharap
PENYAMPAI radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 40, tidak mahu lagi mengharap hubungan bersama bekas suami Adzmin Tan Sri Osman akan kembali terjalin.
Ketika ikatan pernikahan bersama Adzmin terlerai secara rasmi setahun lalu, pengacara dan pelakon itu pernah membuat kenyataan, dia mengharapkan ada sinar baru untuk mereka kembali memulihkan hubungan.
Namun setelah setahun berlalu, ibu tunggal itu semakin dapat menyesuaikan diri. sekali gus reda dengan ketentuan takdir.
"Dulu saya mengaku mengharapkan hubungan dengan suami kembali pulih. Tapi selepas beberapa ketika, saya rasa cukuplah saya menunggu. Saya enggan mengharapkan apa-apa lagi. Semakin lama, saya semakin selesa hidup sendiri.
"Tapi seandainya ada jodoh antara kami lagi, saya serahkan kepada takdir. Walaupun tiada sebarang usaha daripada pihak suami, saya dan dia masih lagi baik.
"Saya mengaku, memang kami masih berpegangan tangan apabila keluar bersama. Tetapi kami buat semua itu demi anak. Mereka belum mengetahui status saya dan suami," kata Raja Azura yang bakal mengacarakan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 bersama Didie Alias, Sharifah Shahira dan Zizan.
Perkahwinan selama 10 tahun antara Raja Azura dengan anak bekas Menteri Besar Kedah itu diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 10; Megat Luqman Hakim, 9; dan Puteri Mia Maizurah, 6.
Bagi memberikan tumpuan untuk membesarkan ketigatiga anaknya, Raja Azura kini tidak menerima sebarang tawaran berlakon. Sebaliknya, dia selesa dengan tugas yang dipikul sebagai penyampai radio.
Kata Raja Azura, sekiranya dia menerima tawaran berlakon, jadualnya menjadi semakin padat. Justeru dia bimbang keadaan itu akan menyebabkan anak-anaknya terabai. Oleh itu, dia hanya memberikan tumpuan sebagai penyampai radio sepenuh masa, dan sesekali mengendalikan majlis makan malam serta acara korporat.
"Sekurang-kurangnya sekarang ini, selepas bertugas di konti, saya boleh pulang ke rumah untuk menguruskan anak.
"Selepas ini program Kilauan Sinaran Emas akan kembali menemui penonton, maknanya saya akan bertambah sibuk. Jadi lebih elok saya tidak berlakon buat masa sekarang," katanya yang turut dicalonkan dalam dua kategori iaitu Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular pada ABPBH2011.
Sumber: Berita Harian.
Senarai Lengkap Pengacara, Penyampai Trofi dan Artis Yang Bakal Membuat Persembahan.
No comments:
Post a Comment