Wednesday, February 22, 2012
Yahya Sulong Koma terjatuh di bilik air
PELAKON dan pelawak veteran, Datuk Yahya Sulong, 85, atau mesra dengan panggilan Pak Ya kini berada dalam keadaan koma akibat terjatuh di bilik air di kediamannya di Bandar Baru Sentul, petang kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang selepas isterinya, Datin Alisah Ali, 65, mengesyaki sesuatu tidak kena apabila panggilan kepada suaminya yang sudah lama memasuki bilik air tidak bersahut.
Alisah yang juga kurang sihat meminta bantuan jirannya, Maimunah Ahmad, 51, sebaik saja menemui suaminya yang terbaring tidak sedarkan diri.
Daripada jirannya difahamkan, sejak jam 11 malam hari kejadian hingga petang semalam, Pak Ya masih tidak sedarkan diri dan kini ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang.
“Pada mulanya Pak Ya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans, tetapi kini dia ditempatkan di Hospital Ampang. Ketika kejadian, anaknya baru saja mahu keluar bekerja.
“Kebetulan ketika itu saya di luar rumah dan mendapati Pak Ya tidak sedarkan diri. Sebelum ini, saya kerap menolong menghantarnya berjumpa doktor malah tiga hari lepas saya baru membawanya ke klinik.
“Sehingga lawatan saya malam tadi, keadaannya masih tidak berubah dan kami meminta jasa baik orang ramai untuk mendoakan semoga dia cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi.
Wakil Berita Harian yang melawatnya di hospital dimaklumkan, bapa kepada 11 cahaya mata itu semakin uzur selepas menghidapi pelbagai penyakit seperti asma, masalah jantung serta kesukaran bernafas yang membuatkannya terpaksa berulang alik ke hospital.
Sepanjang terbabit dalam dunia seni, aktor veteran ini cukup dikenali dengan keletah lawaknya malah hingga kini sudah membintangi lebih 20 filem termasuk Gila Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du, Toyol, Prebet Lapok dan Senario The Movie.
No comments:
Post a Comment