Tuesday, January 31, 2012

Aziz M. Osman harap Azura versi baru dapat sambutan positif penonton


SELEPAS publisiti meluas diberikan ditambah kontroversi yang dicetuskan dua pelakon utamanya, iaitu Shahrizal yang sebelum ini dikenali sebagai Shahz Jaszle dan Neelofa, akhirnya filem Azura 2011 bakal ditayangkan kepada khalayak mulai Khamis ini.

Naskhah terbaru arahan Aziz M Osman ini boleh dianggap sebagai pembikinan semula kepada sebuah filem yang pernah mencetuskan fenomena hampir tiga dekad lalu, yang menampilkan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud.
Filem yang ditayangkan pada 1984 itu menjadi bualan kerana bukan saja kehebatan jalan ceritanya, tetapi turut dilatari lagu cukup merdu dan malar segar.
Persoalannya, mampukah filem Azura 2011 ini berjaya mengatasi ataupun sekurang-kurangnya meraih pencapaian sama dengan filem asalnya?

Mengulas pertanyaan itu, Aziz berkata, soal sambutan yang bakal diterima cukup subjektif.

"Walaupun publisiti diberikan terhadap filem ini cukup menggalakkan, namun ia tidak menjanjikan apa-apa. Kalau kita lihat, publisiti awal untuk filem KL Gangster cukup suram, tapi sambutannya amat hebat," katanya ketika ditemui pada malam gala filem berkenaan di GSC One Utama, Bandar Utama, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu barisan pelakonnya iaitu Shahrizal, Neelofa, Afdlin Shauki dan ramai lagi.
Ditanya apakah dia ada meminta keizinan untuk menerbitkan kembali filem itu, Aziz berkata, dia memang ada meminta restu daripada pengarah asalnya, Datuk Deddy M Borhan, sebelum memulakan projek berkenaan.

Mengarahkan filem yang pernah mencetuskan fenomena ternyata bukan tugas yang mudah. Dibandingkan dengan filem asal ialah perkara utama yang harus ditempuh Aziz. Mengulas lanjut perkara itu, Aziz bersikap positif sambil menegaskan, dua filem itu masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

“Filem Azura popular kira-kira 30 tahun dulu dan tidak semua orang tonton filem ini. Anak saya pun tahu mengenai kewujudan filem ini selepas saya membeli DVD. Apa yang boleh saya katakan, saya buat filem ini adalah untuk anak saya, generasi masa kini," ujarnya.

Dijolok pertanyaan apakah kontroversi membabitkan dua pelakon utamanya memberi kelebihan untuk mengumpan penonton, Aziz berkata, dia menganggap perkara itu sebagai kebetulan.

"Saya ambil mereka berdua berlakon pun sebelum berlakunya kontroversi. Apa yang berlaku adalah kebetulan. Tapi, apabila pelakon dilanda kontroversi, pasti ada dua kemungkinan yang berlaku. Pertama, ia mungkin membantu menarik perhatian penonton untuk ke pawagam. Kedua, ia juga boleh menimbulkan perasaan menyampah kepada masyarakat dan mungkin menjejaskan filem itu sendiri. Namun begitu, saya harap filem ini mendapat maklum balas yang positif," katanya.

Versi baru Azura mengisahkan Zack yang jatuh cinta pandang pertama terhadap Azura, petugas kaunter di sebuah pusat paintball yang sering dikunjunginya.
Pemuda itu kemudian membawa Azura bertemu bapanya di Paris. Namun niatnya untuk mengahwini gadis itu ditentang si bapa dengan alasan Zack masih
mentah dan belum mampu berdikari. Dengan bantuan neneknya (lakonan Afida S), Zack dan Azura kahwin lari di London.

Sejurus selepas perkahwinan yang tidak mendapat restu itu, bapa Zack menghentikan segala bantuan kewangan terhadapnya, lalu dia pulang ke
Malaysia dan belajar hidup berdikari di sisi Azura.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More