Monday, February 13, 2012
Farhan dah menjadi tunang Rashdan rancang Berkahwin Tahun Depan
Penyanyi Farhan Azizan, 28, dan Ahmad Rashdan Suhaimi, 28, akan melangsungkan pernikahan pada awal tahun depan selepas dipersetujui dalam majlis pertunangan yang diadakan di Cafe Flora, AmWalk, di sini, Ahad.
Farhan berkata perhubungan cinta yang agak lama iaitu selama enam tahun itu membuatkan dia dan Rashdan memutuskan untuk menjalinkan ikatan pertunangan sebelum meneruskan ke fasa perkahwinan.
"Buat masa ini, kedua-dua belah pihak keluarga telah bersetuju untuk melangsungkan pernikahan kami pada tahun hadapan, tetapi belum memilih tarikh yang sesuai.
"Majlis resepsi pula akan diadakan di dua tempat iaitu di rumah Rashdan di Kuantan dan Kuala Lumpur pula di pihak saya.
"Jangka masa setahun pertunangan ini dibuat kerana Rashdan baru sahaja memulakan kerjanya sebagai Pengurus Akauntan di syarikat Petronas dan dia ingin mengukuhkan kariernya dahulu sebelum bergelar suami," katanya.
Rashdan sebelum ini melanjutkan pengajiannya dan bekerja di United Kingdom (UK) selama tiga tahun.
Pada majlis tersebut, Farhan mengenakan busana rona kelabu dan ungu rekaan Syarakim.
Selain itu, bekas Akademi Fantasia musim ke-4 (AF4) itu turut menerima sebanyak lima dulang hantaran iaitu sirih junjung, kek cawan, potpurri, buah buahan dan wang hantaran permulaan (mengikut adat keluarga Farhan di Johor).
Manakala Farhan pula membalas tujuh dulang hantaran yang antaranya seperti sirih junjung, buah-buahan, kek, kek cawan, sejadah, coklat dan dua buah kitab Al-Quran.
Tambah Farhan, dia bersyukur apabila perhubungannya dengan Rashdan yang agak lama itu sudah hampir ke fasa perkahwinan walaupun melalui pelbagai dugaan cinta.
"Diakui, bukannya mudah apabila berjauhan, lebih-lebih lagi Rashdan berada di UK selama tiga tahun. Kami menggunakan pelbagai kemudahan untuk berhubung seperti menerusi SMS, Skype, BBM, Yahoo Messenger, Facebook dan sebagainya yang boleh membuatkan kami berkomunikasi.
"Malah kami pernah bergaduh sehinggakan tidak berhubung selama dua bulan, namun perhubungan kami kembali normal selepas Rashdan memujuk saya," selorohnya.
No comments:
Post a Comment