Tuesday, February 14, 2012

Wawa Zainal gadis mahalan :)

Wawa Zainal.

SELEPAS Lisa Surihani mengharumkan nama industri perfileman, sekali gus menjadi kebanggaan MIG Productions yang ‘mencipta’ bakat beliau, kini syarikat produksi yang dianggap kilang filem itu sedang mempertaruhkan bakat baru mereka, Wawa Zainal, berusia 20 tahun.

Dia dikatakan bakal menggantikan tempat Lisa yang mungkin memperlahankan aktiviti seninya di saat sah menjadi isteri kepada Yusry Abdul Halim, 23 Februari ini.
Pun begitu, siapa Wawa Zainal? Mereka yang mengikuti perkembangan filem Melayu sejak awal tahun ini akan kenal bakat baru ini, apatah lagi wajahnya mula kerap menghiasi dada akhbar dan majalah hiburan. Pernah sesekali terlihat kelibat wajahnya yang comel menerusi drama bersiri Klik yang disiarkan di Astro Ceria sedikit masa lalu. Selain itu, dia juga muncul dalam beberapa babak kecil menerusi filem seram Sumpahan Kum Kum yang masih ditayangkan di beberapa pawagam.
Mungkin nama Wawa tidak gah buat masa ini seperti bakat baru lain - Neelofa, Izara Aishah mahupun Tasha Shila - namun dia dijangka memberi tamparan hebat sepanjang 2012 apabila deretan filem dan drama lakonannya sedang bersedia menemui penonton.

Mulai 9 Februari lalu, filem komedi seram terbaru terbitan MIG Productions, Hantu Dalam Botol Kicap (HDBK) lakonan Wawa bersama Mon Ryanti dan Angah Raja Lawak sudah pun menjengah pawagam. Filem berkenaan arahan Azhari Zain. Ia diikuti filem Seram Sejuk, 3 Temujanji, Aji Noh Motor dan Budak Pai Lang yang dijangka menjengah pawagam sepanjang 2012 ini apabila semuanya menampilkan Wawa sebagai watak utama mahupun pembantu.

Begitu juga drama Cinta Buat Emelda dan Bunga-Bunga Syurga yang menampilkan Wawa antara watak utama, dijangka disiarkan di TV3 masing-masing mulai 15 Februari dan 9 Mac ini.

Justeru, Wawa dilihat mempunyai peluang cerah untuk lebih dikenali bersandarkan produk berkenaan, selain pakej dimilikinya, berwajah cantik, dan usianya yang masih muda dijangka memberi tarikan baru. Tawaran berlakon juga tidak pernah putus menjadikan Wawa antara artis residen MIG paling sibuk menyusun jadual seninya setiap hari.
Baru saja Wawa hendak bertapak dalam industri ini, sudah kedengaran suara sumbang orang bercakap mengenai sisi negatif dirinya. Ada khabar yang bertiup kencang mendakwa Wawa gadis liar dan murahan! Dalam erti kata lain, dirinya dituduh mudah ditiduri sesiapa saja asalkan orang itu mampu memenuhi segala kemahuan dan keperluannya.

Sebaik saja persoalan itu diajukan kepadanya, Wawa menghela nafas panjang.
“Sebenarnya tuduhan atau fitnah seumpama itu saya pernah dengar sebelum ini. Tapi sejauh mana kebenarannya, hanya Tuhan saja yang tahu. Bagi saya, sekiranya fitnah itu benar-benar wujud, saya yakin pasti ada pihak yang tidak berpuas hati dengan saya. Mungkin sebelum ini saya pernah menolak cinta atau menyakiti hati mereka, jadi pihak terbabit mengada-adakan cerita dalam usaha membusukkan nama saya.

“Sejujurnya, saya terkilan apabila mereka sanggup menabur fitnah kononnya saya gadis murahan dan rela ditiduri sesiapa saja. Itu tidak benar sama sekali! Bagi saya, itu satu tuduhan yang boleh mengaibkan nama saya. Cukup-cukuplah, janganlah terus memperlakukan saya begitu. Saya baru saja nak bertapak dalam industri, dah kena macam-macam fitnah.

Wawa Zainal "bukan gadis murahan" mahalan?.

“Saya datang dari kampung nak mengejar cita-cita sebagai pelakon, bukannya mengejar cinta sehingga terjerumus kepada cerita negatif seperti hari ini. Terus-terang, saya belum bersedia dengan sebarang perhubungan, lebih-lebih lagi yang membabitkan soal cinta, hati dan perasaan. Biarlah saya berjaya menempa nama dulu kerana peluang yang diberikan MIG hanya sekali, jadi saya perlu memanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” kata Wawa memulakan perbualan.

Bagaimana pula desas-desus kononnya Wawa dan Shahiezy Sam dalam diam rupa-rupanya bercinta?

“Saya pernah menjelaskan mengenai isu itu sebelum ini, jadi tak perlulah saya mengulanginya. Cukup jika saya katakan, saya dan Sam kami sama-sama artis MIG, tidak ada hubungan peribadi antara kami. Bagi saya, tak perlulah isu ini diulang siar lagi kerana saya khuatir insan yang benar-benar rapat dalam hidup Sam, terasa hati jika isu ini terus diperkatakan media massa,” pinta Wawa berkali-kali.

Seperkara lagi, sudah terdengar rungutan, ketika malam pratonton filem Hantu Dalam Botol Kicap, baru-baru ini, Wawa dikatakan tidak menegur dan bersalaman dengan beberapa wartawan penyiaran dari sebuah stesen TV popular, justeru, dia didakwa sudah besar kepala walaupun lakonannya belum benar-benar teruji menerusi filem berkenaan.

“Seingat saya, saya sudah menegur dan bersalaman dengan semua wakil media yang hadir pada malam itu. Namun, sekiranya ada sekumpulan wakil media yang saya terlepas pandang, saya tak bersalaman dengan mereka, janganlah terus melabel saya sombong. Saya minta maaf banyak-banyak kepada wakil media itu, tidak ada niat di hati saya nak sombong dengan sesiapa.

“Tambahan pula dalam keadaan diri saya yang masih hijau, sokongan daripada semua pihak, terutama media massa, amat saya perlukan sebagai perantaraan antara saya dan penonton. Sekali lagi saya mohon maaf kepada pihak wartawan yang terasa hati dengan saya pada malam itu, saya memang tak perasan ada wakil media yang belum saya temui pada malam itu,” katanya sambil memohon maaf.


Wawa Zainal.

Profile

Nama sebenar: Nur Hawa Zainal Abidin
Tarikh Lahir: March 12, 1991
Asal: Lahad Datu, Sabah
Keluarga: Anak kelapan dari 11 adik-beradik
Sekolah: St. Dominic
Drama Lakonan: Ana Lu’lu, Hantu Dalam Botol Kicap
Pelakon Idola: Erra Fazira, Nurkiriah dan aktor, Que Haidar

No comments:

Post a Comment