Serba-salah dan berubah sedikit wajah pelakon, Remy Ishak saat ditanyakan kesahihan berita dia sudah putus kasih dengan Tiz Zaqyah. Mungkin tidak sangka soalan itu akan ditanya menyebabkan reaksi spontan itu terpancar pada wajahnya.
Sejak gosip mereka berpisah tersebar, hanya kenyataan Tiz yang kedengaran. Dia menafikan perkara itu. Justeru, ketika bertemu Remy sewaktu pratonton filem Bunohan di TGV KLCC, baru-baru ini, soalan itulah yang ditanyakan. Selain mahu berlaku adil, manalah tahu jawapan Remy akan menguatkan kenyataan Tiz, antara mereka masih lagi pasangan kekasih.
Bagaimanapun, jawapan Remy hanya menambahkan teka-teki, kerana tiada penafian atau pengesahan dibuat.
“Maaf, saya tidak mahu komen perkara ini. Cukuplah saya mengatakan kami masih berkawan dan berhubung,” katanya saat ditanya kesahihan cerita dia sudah berpisah dengan pelakon filem Cinta Kura-Kura itu.
Jika benar antara mereka masih ada hubungan, sudah pasti Remy akan bertindak seperti Tiz yang sepantas kilat menepis dakwaan mengatakan mereka sudah berpisah. Namun, apabila soalan itu diajukan kepada Remy, amat sukar untuk dia menjawab dengan yakin.
Yang kedengaran hanyalah permohonan maaf yang terpacul dari bibirnya kerana tidak dapat memberi ulasan lanjut.
“Kalau boleh saya memang tidak mahu bercakap apa-apa mengenai perkara ini. Berilah saya masa,” katanya.
Ditanya benarkah hubungan itu terlerai kerana Tiz ada kekasih baru, sambil menyusun sepuluh jari, Remy membiarkan pertanyaan itu tanpa jawapan.
Desas-desus pasangan ini berpisah dikesan apabila laman sosial milik kedua-dua artis ini menggambarkan hubungan mereka sedang berantakan.
0 comments:
Post a Comment