Sunday, February 5, 2012

Najwa Latif dipersendakan oleh beberapa penyanyi Senior



Penyanyi muda Najwa Latif berkata dia enggan melatah atau patah semangat dengan sikap segelintir pihak yang iri hati dengan perkembangan karier nyanyiannya.

Penyanyi berusia 17 tahun itu berkata dia sentiasa berpegang teguh pada pesanan ibunya agar bersikap tenang dan matang dalam menghadapi pertikaian pihak yang kurang senang dengan apa yang dikecapinya kini.

“Saya sentiasa ingat pesanan ibu dalam kehidupan ini pasti akan ada orang yang suka dan tidak suka dengan apa yang kita lakukan atau kecapi. Saya tidak akan melatah dan selesa untuk berdiam diri.

“Lebih baik saya fokus pada pelajaran dan perjuangan muzik daripada merunsingkan fikiran dengan kata-kata atau sikap negatif orang lain,” katanya kepada mStar Online, Ahad.

Ketika ditanya mengenai pertikaian segelintir pihak terhadap kualiti lagu popularnya Cinta Muka Buku yang bukan hanya mencetuskan fenomena, malah turut mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) pada 29 Januari lalu, Najwa berkata ia adalah peluang dan rezeki yang ditentukan oleh Tuhan.

“Saya terima dengan hati terbuka apa juga pandangan negatif orang yang meragui lagu saya sehingga dikenali ramai dan mara ke pertandingan berprestij seperti AJL26, baru-baru ini.

“Mungkin kerana saya baru 17 tahun dan setakat itu sahaja kemampuan saya berkarya buat masa ini. Maka, ada yang anggap lagu saya tidak berkualiti.

“Apa pun, saya akan terus belajar untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran bermain muzik untuk menghasilkan lagu-lagu yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Menjawab dakwaan terbaru kononnya dia dipersendakan oleh beberapa penyanyi senior di belakang pentas dengan tujuan untuk melemahkan semangatnya sebelum bertanding pada AJL26, Najwa berkata dia tidak pasti jika perkara itu benar-benar terjadi.

“Saya orang baru dalam bidang ini dan saya menghormati semua artis yang lebih senior. Saya tidak pasti jika dakwaan tersebut benar-benar berlaku.

“Mungkin kalau pun ia berlaku, saya tidak patah semangat atau ambil pusing kerana saya hanya memperjuangkan muzik saya sahaja,” katanya.

Najwa yang bakal muncul dengan album pertamanya pada Mac depan baru sahaja berkongsi pentas dengan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search dalam acara persembahan bersempena sambutan Maulidur Rasul di Terengganu, malam Sabtu lalu.

Pada hari ini (Isnin), penyanyi dari Batu Pahat, Johor ini terlibat dalam persembahan kerohanian bersama pendakwah bebas Sham Kamikaze di kawasan Ampang, Selangor, juga bersempena sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Sumber mStar


comel betul muka Najwa Latif makan ni kawaii... :)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More