Sunday, February 5, 2012

Tasha Shilla nafi dibela golongan VIP dan minum arak

Belum pun reda isu pelakon Tasha Shilla dituduh berkelakuan liar dan menari ghairah di kelab malam sebelum ini, aktres muda ini sekali lagi dipalit kontroversi yang mendakwa kononnya dia kini menjalin hubungan dengan seseorang berstatus VIP pula.

Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 25, berkata jika benar dia menjalin hubungan dengan individu berstatus VIP, justeru dia tidak perlu menceburi bidang lakonan dan bekerja keras untuk menaikkan taraf kehidupannya.

“Saya nafikan dakwaan itu. Kalaulah benar saya menjalin hubungan atau dibela golongan VIP, buat apa saya bekerja-keras siang dan malam untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan ini.

“Lagi pun, saya tinggal dan berada di bawah jagaan keluarga. Ibu bapa saya sentiasa mengetahui dan memantau gerak-geri saya, jadi tidak logik kalau ada yang kata saya dibela oleh VIP,” katanya yang dihubungi mStar Online, Ahad.

Menjawab dakwaan yang mengatakan kereta BMW miliknya turut dibelikan oleh individu berkenaan, Tasha menegaskan kenderaan tersebut dibeli dengan wang hasil titik peluhnya sendiri.

“Ini satu lagi dakwaan melampau. Kalau hendak tahu, kereta tersebut sudah lama saya beli sebelum bergelar artis lagi. Ia adalah hasil titik peluh saya ketika bekerja sebelum ini. Ia dibeli atas nama makcik saya sendiri.

“Mengapa harus timbul kesangsian? Saya membuat keputusan untuk membeli kereta itu kerana saya mampu. Kereta itu pun bukan kereta baru. Tidak adil untuk menuduh saya begitu hanya kerana saya memiliki kereta tersebut,” ulasnya.

Menjawab dakwaan kononnya dia turut keluar dengan seorang VIP dan terdapat hidangan minum keras di atas meja pada malam Khamis lalu, Tasha Shilla memberitahu dia tidak berdua sebaliknya ditemani rakan-rakan lain.

Malah, minuman keras yang dihidangkan di restoran itu adalah dipesan oleh temannya yang bukan beragama Islam.

“Hakikatnya saya datang secara berkumpulan bersama rakan-rakan lain termasuk beberapa orang produksi dari Hollywood untuk berbincang tentang tawaran kerja.

“Memang benar ada minuman beralkohol di atas meja kami tetapi bukan saya yang minum. Ada beberapa rakan saya yang bukan beragama Islam di situ," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai reaksinya apabila terus dikaitkan dengan kontroversi, Tasha berkata dia segera menghubungi ibunya bagi mendapatkan pandangan menghadapi tuduhan terbaru ini.

“Saya tidak mahu mudah melatah kerana saya sudah bersedia untuk menghadapi gosip dan kontroversi apabila menceburi bidang ini.

“Orang luar boleh bercakap apa sahaja tanpa mereka mengenali saya secara peribadi. Apa yang lebih penting adalah kepercayaan dan sokongan ahli keluarga dan teman-teman rapat,” katanya.

Sebelum ini, mStar Online melaporkan aktres ini menepis dakwaan kononnya dia berkelakuan liar dan menari ghairah ketika meraikan majlis hari lahirnya yang ke-25 di sebuah kelab malam di ibu negara pada 25 Januari lalu.

Sumber mStar

Tasha Shilla seorang pelakon dan dilahirkan pada 25 Januari, 1987

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More