Tuesday, March 6, 2012

Jimmy Shanley Rakam Video Pergaduhan Dengan Isteri

Nursuhaila Eliani

Kemelut rumahtangga Jimmy Shanley dan isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy masih belum berakhir. Petang tadi berlangsung satu prosiding bagi membicarakan tuntutan Taat Setia Isteri ( Nusyuz) yang dikemukakan oleh Jimmy di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Saharuddin Selamat itu, Jimmy mendedahkan dia pernah menampar Suhaila dua kali. Kali pertama pada hari ketiga perkahwinannya (3 Oktober) dan kali kedua ketika mereka berbulan madu di Koh Samui, Thailand (19 Oktober).

Jelas Jimmy, dia bertindak sedemikian kerana ingin memberi peringatan kepada Suhaila yang sering kali mengingkari nasihatnya, bukan dengan niat mencederakannya. Pengacara ini juga memberitahu mahkamah bahawa masalah rumahtangganya telah bermula dari hari pertama perkahwinannya dan dia tidak pernah menerima layanan yang sepatutnya daripada Suhaila.

“Perkahwinan kami atas dasar suka sama suka dan ia adalah permintaan ibu bapa mentua saya. Kami telah berkenalan selama sembilan bulan sebelum berkahwin. Malah, sebelum berkahwin isteri saya pernah berkata kalau hendak bercinta, boleh dilakukan selepas berkahwin kerana masih banyak masa,” ujar Jimmy ketika menjawab soalan peguam yang bertanyakan sama ada perkahwinan mereka dipaksa oleh sesiapa atau tidak.

Dalam prosiding yang sama, Jimmy turut mendedahkan yang dia ada membuat rakaman video pergaduhannya dengan isteri di Hotel Mercure, Koh Samui. Namun, rakaman video itu tidak dipertontonkan kepada mahkamah.

Prosiding mahkamah ditangguhkan pada 7 Mei dan 14 Mei hadapan.

Sementara itu, Jimmy yang ditemui selepas prosiding berakhir memberitahu yang dia masih menyayangi isterinya itu walaupun Suhaila secara terang-terangan mengatakan dia sudah tidak mampu menyayanginya sebagai suami.

“Saya berat hati hendak melepaskan (cerai) Suhaila kerana saya masih sayangkan dia. Kami sudah ada anak, jadi apa yang saya buat ini adalah demi anak kami. Bagi saya, suami isteri mesti ada perselisihan faham. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Kalau boleh saya memang hendak selesaikan perkara ini di luar mahkamah, tetapi isteri yang tidak mahu,” ujar Jimmy.

Diminta mengulas tentang status penjagaan anaknya, Zahrah Shanley yang berusia tujuh bulan, lelaki berusia 32 tahun ini enggan mengulas lanjut. Jelas Jimmy, dia bimbang kenyataannya itu nanti boleh menjejaskan kes yang telah pun dibawa ke mahkamah.

Jimmy dan Nursuhaila

Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986. Kira-kira sebulan selepas berkahwin, kemelut rumahtangga pasangan ini mula dihidu pihak media apabila mereka dikatakan tinggal berasingan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More