Penyanyi Hafiz Suip (AF7) berkata selepas hampir tiga tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, sudah tiba masa untuk dia mencari lagu-lagu yang bersesuaian dengan kekuatan vokal dan stail nyanyian agar ia menjadi identitinya.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip berkata dia perlu mencari lagu-lagu yang sinonim dengan kelebihan vokalnya untuk terus bertahan dan memantapkan lagi namanya di persada muzik.
“Saya perlu terus mencari lagu-lagu yang bersesuaian dengan vokal dan stail nyanyian saya. Lagu-lagu seperti Noktah Cinta dan Awan Nano terbukti cukup sinonim dengan saya.
“Sebagai orang baru, saya perlu mencari identiti itu bagi mengukuhkan diri saya di dalam industri muzik,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Hafiz berkata penyanyi-penyanyi berkaliber seperti Datuk M. Nasir, Amy Search dan Jamal Abdillah masih bertahan dan kekal relevan sehingga kini kerana identiti muzik mereka yang sangat utuh di mata peminat.
“Saya mahu menjadi penyanyi yang mempunyai identiti muzik yang kuat. Apabila orang dengar sahaja lagu, orang sudah tahu itu adalah identiti saya.
“Persaingan yang sengit di antara penyanyi baru dan lama serta perkembangan muzik yang drastik memerlukan seseorang penyanyi itu menjadi kreatif,” katanya.
Buktinya, Hafiz berkata lagu ‘single’ terbaru berjudul Deklamasiku ciptaan Kuncidemak dan Iszduliza juga mempunyai identiti muzik seperti Awan Nano yang berentak balada dan menonjolkan kekuatan vokal.
“Apabila lagu itu keluar nanti, anda akan dapat kesan bahawa elemen dan penjiwaannya juga tidak jauh beza dengan lagu Awan Nano.
“Memandangkan lagu seumpama ini mendapat sambutan dan bersesuaian dengan saya, maka saya akan kekalkan identiti itu,” katanya yang merancang untuk memasarkan lagu ‘single’ tersebut tidak lama lagi.
Sumber: mStar
0 comments:
Post a Comment