ARIL menyiram air mawar di pusara Izwan sambil diperhatikan ayahnya, Pilus Jani (kanan) di Jasin, Melaka semalam.
Hasrat penyanyi, Allahyarham Izwan Pilus atau nama sebenarnya, Khairil Izwan Pilus, 33, untuk menyambung pengajiannya dan berduet dengan adiknya sendiri tidak kesampaian.
Ibunya, Normah Abdullah, 54, berkata, arwah yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dari Universiti Utara Malaysia itu ada memberitahu mahu menyambung pengajiannya pada peringkat sarjana dalam bidang penyiaran.
"Namun, hasratnya tidak kesampaian kerana sudah meninggalkan kami," katanya selepas pengebumian jenazah Izwan di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Nyalas di sini pagi semalam.
Allahyarham selamat disemadikan kira-kira pukul 11 pagi selepas disembahyangkan di rumah keluarganya di Taman Nyalas Permai di sini yang dihadiri kira-kira 200 kenalan termasuk saudara-mara dan rakan artis.
Izwan meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus dan jangkitan kuman dalam darah di Unit Rawatan Rapi Hospital Ampang, pukul 6.15 petang kelmarin.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa pulang di rumah keluarganya di Taman Nyalas Permai pada pukul 12 tengah malam kelmarin.
Sementara itu, Aril atau nama sebenarnya Khairul Azam Pilus, 27, berkata, dia dan abangnya bercadang berduet dalam sebuah lagu dan mereka dalam proses memilih komposer.
"Kini abang telah tiada dan saya masih berfikir sama ada hendak meneruskan usaha ini atau tidak kerana ia melibatkan janji dan amanah," katanya.
Menurutnya, dia akan merindui abangnya kerana Izwan bukan sahaja dianggap sebagai abang kandungnya, malah juga sebagai seorang rakan baik.
Kosmo
0 comments:
Post a Comment