Wednesday, February 8, 2012

Cucu P.Ramlee Hasilkan 'Single'

Pelakon dan penyanyi, Najua P.Ramlee akan meneruskan legasi datuknya, Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan kemunculan single terbaru yang masih lagi dalam pembikinan.

Najua atau nama sebenarnya, Najua Nasir berkata, dia ingin membawakan muzik berkonsepkan broadway, sama seperti lagu-lagu yang sering dibawakan dalam pementasan teater.

"Sebelum ini saya biasa dengan kerjaya berbentuk pementasan seni teater, muzikal terutamanya. Jadi saya fikir, lebih elok jika lagu single pertama saya berbentuk broadway.

"Saya harap kelainan itu dapat diterima peminat-peminat muzik tempatan. Andai kata ia menjadi tarikan, saya akan meneruskan usaha penghasilan single kedua dan seterusnya muncul dengan sebuah album," katanya.

Najua adalah anak kepada Nasir iaitu anak tunggal P.Ramlee hasil perkahwinannya dengan Junaidah Daeng Harris.

Tambah graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini, dia berharap kemunculannya dengan lagu terbaru ini tidak mendapat kritikan kononnya dia ingin menumpang populariti P.Ramlee.

Sementara itu, dia bersyukur kerana mendapat pembiayaan penuh daripada Indonesian Arts And Culture Scholarship untuk menyambung pengajian kursus jangka pendek di negara itu dalam masa terdekat.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mengambil kursus jangka pendek dalam bidang seni ini dan akan mengaplikasikannya dalam kerjaya seni saya nanti.

"Selain itu, saya juga ingin membuktikan mampu berjaya dengan usaha sendiri tanpa membabitkan nama keluarga," ujarnya ringkas.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More