Secantik namanya, begitu juga cantiknya budi pekerti dimiliki selebriti yang kian meningkat , Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali dengan nama Neelofa.
Biarpun begitu sibuk dengan aktiviti mempromosikan filem sulung lakonannya, Azura di samping jadual padat sebagai pengacara Nona, namun si cantik ini masih sempat lagi mencuri masa untuk melakukan kerja amal.
Boleh dikatakan rezekinya ketika ini cukup murah dengan dihujani pelbagai tawaran lakonan, juga perniagaan kasutnya, tetapi anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini tidak lokek untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat.
Aktres baru sahaja menyambut hari lahir pada 10 Februari lalu, mengambil kesempatan membawa 30 anak yatim didatangkan khas dari Rumah Al-Faiz, Gombak bagi menonton wayang filem Azura di MBO, Space U8, Bukit Jelutong, baru-baru ini.
Telah lama menyimpan hasrat untuk membawa mereka menonton wayang, Neelofa yang juga pelakon utama filem tersebut, bersyukur dapat merealisasikannya pada malam Rabu lalu.
Neelofa berkata, hubungannya dengan kanak-kanak di Rumah Al Faiz, Gombak, sudah lama terjalin. Katanya, dia pernah menjadi pengacara untuk majlis-majlis amal, termasuk majlis berbuka puasa pada tahun lalu.
“Sebenarnya, kami sudah lama berkenalan dan saya anggap mereka ini sebagai adik-adik saya. Malah mereka pun memanggil saya dengan panggilan Kak Lofa.
“Kami kenal kebetulan semasa saya menjadi pengacara di majlis amal melibatkan Rumah Al-Faiz, Gombak. Jadi sudah lama saya menyimpan hasrat membawa mereka menonton filem pertama saya. Alhamdulillah, ia berjaya juga dilaksanakan,” katanya yang tampil kasual pada malam tersebut.
Mempunyai sembilan adik-beradik dan anak buah yang ramai, membuatkan pelakon ini tidak ‘kekok’ melayan karenah anak-anak yatim dengan mesra. Bukan saja berinteraksi, malah juga bergurau senda, sekali gus memperlihatkan sisi murni, Neelofa.
Mengulas mengenai program tayangan amal tersebut, Neelofa memberitahu tidak menganggap aktiviti itu sebagai program wajibnya setiap kali filem barunya keluar.
“Terlalu banyak program yang ada dalam perancangan. Tetapi saya tidak mahu program ini dianggap sebagai perkara wajib.
“Sekiranya ada peluang lagi saya akan luangkan masa untuk melakukan kerja amal seperti ini cuma tidak tahu bila,” katanya yang menganggap perkara itu sebagai program peribadinya.
Neelofa turut memberitahu, program tersebut juga bukan merupakan sebahagian daripada aktiviti mempromosikan filem barunya itu.
Sambut hari jadi dua hari awal
Tidak hanya meraikan anak yatim, Neelofa turut diberikan kejutan ketika awal tayangan filemnya itu dengan tontonan gambar-gambarnya ketika kecil sehinggalah kemenangannya sebagai Juara Dewi Remaja 2010/2011.
Tidak terhenti setakat itu, selebriti ini bertambah terkejut apabila kira-kira 30 ahli keluarganya, turut hadir membawa kek, sempena menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-23.
Biarpun hari lahirnya diraikan dua hari lebih awal, namun Neelofa kelihatan begitu terharu dengan ingatan daripada keluarganya yang sanggup meluangkan masa datang ke Kuala Lumpur.
“Tak sangka keluarga sanggup datang ke majlis ini untuk meraikan hari lahir saya memandangkan sudah lama kami tidak berjumpa.
“Apa pun saya begitu berterima kasih dengan usaha mereka yang sanggup menguruskan majlis ini. Saya tahu ini tentu idea kakak saya (Nabila) dan pihak pengurusan saya,” katanya yang diberikan kek berwarna biru lembut sesuai dengan namanya yang membawa maksud cahaya bunga biru.
Dalam pada itu, pihak MBO yang turut menaja lokasi tayangan amal tersebut turut memberikan bunga sebagai hadiah hari lahir kepada Neelofa.
Beberapa penonton bertuah pada malam tersebut turut diberikan kad keahlian MBO yang mengandungi baucer RM100 untuk menonton wayang di panggung tersebut.
Selain dihadiri dengan anak-anak yatim dan kaum keluarga, sesi tayangan amal tersebut turut dihadiri oleh 30 pembaca majalah hiburan No 1 negara, Media Hiburan.
Terima kritikan
Mengulas mengenai kritikan diterima menerusi lakonannya dalam filem Azura, Neelofa menganggap perkara itu sebagai semangat untuk dirinya melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Bagi orang yang membesar dengan filem Azura, mungkin ada yang tidak boleh terima pembaharuan dalam filem ini. Ada antara mereka yang membandingkan lakonan saya dengan pelakon lama.
“Tetapi bagi generasi muda, kebanyakan maklum balas yang saya terima baik kerana mereka suka dengan pengolahan cerita yang menggunakan latar masa zaman sekarang,” katanya yang telah menonton filem tersebut lebih daripada tiga kali.
Bagaimanapun, Neelofa berharap peminat dapat menerima lakonannya sebagai pelakon baru.
Tambahan pula, katanya, filem tersebut adalah lakonan pertamanya dan dia ditawarkan berlakon filem itu sebelum memenangi Dewi Remaja lagi.
“Saya harap peminat faham saya memulakan karier dengan filem ini. Jadi, jika diikutkan banyak perkara telah saya pelajari melalui pengalaman berlakon.
“Apa yang saya boleh katakan, peminat nilailah lakonan saya untuk filem yang akan datang juga dan pastinya terdapat perubahan dan peningkatan untuk itu,” katanya.
Neelofa turut mengakui kelemahan dan kelebihan yang ada pada dirinya selepas berlakon untuk empat filem lain.
Tidak memilih sebarang watak yang diberikan, Neelofa menganggap tawaran yang diterima sebagai satu cabaran baru buatnya.
“Saya tak kisah mengenai watak yang ditawarkan. Tetapi saya akan melihat jalan cerita, pengarah dan pelakon lain yang terlibat dalam produksi itu,” katanya.
Tumpu perniagaan
Tidak sekadar berbakat dalam bidang seni, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan Pemasaran ini turut berbakat dalam bidang perniagaan.
Memilih kasut sebagai produk perniagaannya, Neelofa optimis dengan setiap rekaan dihasilkan di bawah jenamanya sendiri.
“Tahun ini saya akan mengeluarkan lebih banyak rekaan kasut terkini dan saya kini sedang dalam proses melakukan penjenamaan semula kasut saya di bawah jenama Neelofa.
“Kebanyakan rekaan sudah dihantar ke kilang dan kini saya menunggu masa untuk memasarkan kasut tersebut, sekali gus merasmikan perniagaan saya,” katanya yang mendapat idea perniagaan kasut semasa menyertai pertandingan Dewi Remaja 2010/2011.
0 comments:
Post a Comment