Sunday, February 26, 2012

Uwais bukti cinta Sarah dan Shuib

Uwais bukti cinta Sarah dan Shuib.

BARU berumur 85 hari, Uwais sudah pandai 'bersembang.'

CERITA-CERITA yang keluar daripada mulut pasangan suami isteri, Shuib (Sepahtu) dan Siti Sarah Raisuddin sekarang bertemakan Uwais Alqarni. Putera yang baru berusia 85 hari tapi sudah pandai 'bersembang'. Si comel itu juga membuatkan jadual tidur dan rehat pasangan yang bernikah pada 26 Februari 2011 itu kelam-kabut.

Namun dialah jiwa raga buat Shuib dan Sarah. Rancak bercerita tentang Uwais yang duduk elok di sebelah Shuib, Sarah membuka cerita bahawa Uwais pernah terdiam daripada menangis ketika mendengarkan lagu Bruno Mars ketika mereka menaiki kereta. Menurut Sarah, Uwais yang lahir pada 4 Disember lalu pasti menendang ketika mendengar petikan gitar.

Baru pulang daripada penggambaran filem Amir dan Lukman Pergi ke Laut arahan Mamat Khalid, rindu seakan-akan berombak-ombak di dada Shuib. Dikelek anak ke sana sini, anak yang sudah pandai mengengsot itu juga sebenarnya tidak tahan panas.

"Dia anak yang baik. Jujurnya, saya tidak pandai dengan bayi sebab saya anak tunggal. Tapi selepas mendapat Uwais, secara automatik semuanya berjalan secara semula jadi. Saya mandikan dia dan berani mendukung Uwais. Saya berbeza dengan Sarah yang sebelum ini memang serasi dengan bayi," ujar Shuib yang mengaku sudah pandai berdisiplin di tempat tidur kerana takut tertindih anaknya.

"Sewaktu berjauhan, saya selalu suruh isteri saya kirim mesej bergambar melalui telefon Blackberry. Sengaja kadangkala saya suruh Sarah nangiskan dia agar saya dapat dengar suara Uwais," akui Shuib yang sangat berbangga dapat bekerjasama dengan Mamat Khalid, sutradara yang memang sudah lama menjadi idamannya.

Uwais yang duduk di sebelah mengangguk-angguk seakan-akan faham. Sambung Sarah, hidupnya kini berbeza selepas mendapat cahayamata. Kini kalau perlu bekerja di luar, dibawanya Uwais sekali kerana dia tidak mahu berjauhan dengan anaknya.


PERTAMA kali berhadapan media, Uwais sudah pandai beraksi di depan kamera.

Bercerita tentang topik kerja, pasangan ini sudah keluar dengan sebuah single duet yang bertajuk Cinta Itu Nyawa nukilan Aidit Alfian yang dilancarkan pada bulan Februari.

"Lagu ini sebenarnya dicipta sebelum kahwin. Waktu itu Sarah memang sedang mencari single untuk dirinya. Saya terdengar lagu ini dan saya sukakan liriknya yang seperti cerita tentang kami berdua. Waktu mahu nikah, saya cakap dengan Aidit yang saya nak pinjam lagu itu untuk pasang masa majlis pernikahan kami. Kami rakamkan lagu itu, Aidit main gitar dan saya nyanyi tetapi tidak jadi dipasang. Bila Mujahid Universal dengar, dia rasa lagu itu sesuai jadi lagu duet saya dan Sarah," terang Shuib yang mengambil masa lama untuk merakamkan lagu tersebut kerana terkena 'sawan studio'.

"Lagu Cinta Itu Nyawa dirakamkan waktu saya hamil tujuh bulan. Besar pengertian lagu ini buat saya kerana sebelum ini saya tidak pernah menyanyikan lagu yang ada kena mengena dengan diri sendiri. Lagu ini benar dan memang kisah hidup Sara," ujar Sarah tentang lagu itu yang kini sudah diputarkan di radio Hot FM dan Suria FM.

Uwais bayi comel Siti Sarah Raisuddin dan Shuib.

Kata Sarah, selepas dua bulan lebih melahirkan Uwais, dia masih belum memiliki keberanian untuk muncul di atas pentas. Dakwa Sarah, fizikalnya kini merimaskan.

"Juan (PR Universal) yang pujuk dan bagi semangat agar saya berani berhadapan dengan media," ujar Sara sambil disambut tawa Shuib yang berasakan fizikal isterinya okey dan tidak gemuk.

Mengaku sangat senang dan suka bekerjasama dengan suaminya, akui Sarah, mereka berdua perlu mencabangkan kerjaya seni seperti sediakala.

"Sekarang kami memang sibuk mempromosikan single duet ini. Selain itu kami juga turut berlakon dalam filem Man Sewel Datang KL. Sarah akan keluar dengan single solo selepas ini. Shuib juga akan keluar dengan dua buah lagu bersama Sepahtu bertajuk Siapa Dapat Lisa dan Tak Tipu," ujar Shuib.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More