Pelawak popular Zizan (Raja Lawak) mengambil pendekatan untuk mengawal cara penyampaian lawaknya kerana bimbang penonton akan terasa dengan jenaka yang disampaikan.
Zizan berkata, dia risau apabila lawaknya boleh mengguris hati penonton dan justeru perubahan yang dilakukannya akan membuatkan persembahannya kelihatan agak serius.
"Benar, sejak kebelakangan ini, lawak-lawak yang dipersembahkan tidak seperti dulu. Saya risau masyarakat kita ramai yang sensitif. Tak fasal-fasal mereka terasa dengan gurauan kasar saya itu.
"Bagaimanapun saya mengambilnya sebagai perkara positif untuk menjadi pelawak yang lebih matang. Senang kata, saya sedang ke arah untuk menyampaikan lawak dengan cara lebih bijak," katanya.
Bagaimanapun tambah Zizan, pendekatan komedinya yang lebih serius dan matang bukan disebabkan dirinya berubah menjadi lebih Islamik.
"Saya harap orang jangan salah faham tentang perubahan ini, tetapi saya ingin mendalami ilmu cara-cara membuat lawak yang bersahaja tanpa menyakiti perasaan orang lain.
"Dalam pada itu, saya juga kurang pasti tentang hal itu (Islamik), cuma ingin menjadi lebih baik daripada segi peribadi dan karier," ujarnya.
Dalam pada itu, beritahu Zizan, dia mempunyai misi tersendiri dalam menjayakan karier seninya sebagai seorang pelawak serba boleh dan juga pelakon versatil.
Malah, dia enggan masyarakat hanya melihat dia seorang pelawak biasa yang sering dipandang remeh dan hanya sesuai untuk diejek-ejek.
"Saya harap, jenama pelawak tidak lagi dianggap remeh dan saya mahu membuktikan pelawak mempunyai kebijaksanaan yang tersendiri," tuturnya.
0 comments:
Post a Comment