Wednesday, April 18, 2012

Sharifah Aleya Mahu Bergelar Penyanyi

Sharifah Aleya

Penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al Yahya atau Aleya mahu mencuba bidang baru apabila menaruh keinginan untuk bergelar penyanyi.

Aleya berkata, perasaan itu terdorong kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bidang muzik sejak sekian lama.

“Saya terlalu mencintai muzik dan suka menyanyi sejak dahulu lagi tetapi takut untuk menunjukkan bakat yang ada kerana saya merasakan penyanyi yang sedia ada lebih hebat daripada saya.

"Namun, sejak kebelakangan ini, sedikit demi sedikit saya mula memberanikan diri untuk beraksi di depan khalayak. Walaupun rasa gugup, tetapi rasa takut itu tidaklah seperti dahulu," katanya.

Bagaimanapun, tambah Aleya, dia tidak merancang untuk merakamkan sebarang single lagu kerana menganggap belum sampai masanya lagi.

Cuma kakak kepada Sharifah Amani ini ingin memulakan bakatnya dalam bidang nyanyian dengan melakukan pelbagai persembahan pentas sebelum benar-benar yakin untuk merakamkan lagu sendiri.

"Saya mengasah bakat nyanyian saya dengan menyanyi sebagai untuk lepas geram sahaja. Maklumlah, dah lama saya mengimpikan perasaan ini cuma belum ada keyakinan.

"Oleh itu saya sekadar memenuhi jemputan nyanyian sekiranya ada, tetapi belum merancang untuk muncul dengan sebuah single lagu. Tengoklah macam mana nanti,” ujarnya.

Bercerita mengenai kehidupannya sejak bergelar ibu tunggal pada 29 Februari lalu, Aleya bersyukur kerana masih lagi menjalani kehidupan yang normal dan pada masa sama dikelilingi oleh keluarga tersayang di samping anak kembarnya Aza Ameena Muhd Ashraf dan Asha Ameena Muhd Ashraf yang berusia tiga tahun.

"Saya gembira kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memberi sokongan dalam apa jua keadaan. Walaupun perlu mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal, ia tidak membebankan.

"Dengan kesibukan kerja di studio radio, perjalanan kehidupan harian saya masih lagi sama, tiada apa yang beza," katanya.

Sumber: mStar

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More