Thursday, March 15, 2012

Didie Alias Berkorban Demi ABPBH

Didie Alias

Julung kali dipilih sebagai pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 membuatkan Didie Alias berjanji kepada diri sendiri untuk memberikan komitmen sepenuhnya terhadap tanggungjawab yang diberikan itu.

Bagi memastikan amanah itu dipikul sebaik mungkin, Didie memastikan dirinya tidak akan terbabit dengan mana-mana penggambaran selama empat hari.

Teruja dipilih bergandingan dengan Zizan Razak, Sharifah Shahirah dan Raja Azura di pentas berprestij itu, Didie ingin menampilkan kelainan dan kejutan buat penonton pada malam kemuncak nanti, berbeza dengan apa yang pernah ditampilkannya sebelum ini.

Bukan saja dari segi pakaian yang unik dan menarik, pengacara dan pelakon yang menerima jolokan Lady Gaga Malaysia ini nyata ingin membuat kejutan dengan kemunculan pertamanya sebagai hos bersama ABPBH.

“Bangga sangat dipilih oleh Berita Harian dan bagi membalas kepercayaan yang diberikan itu, saya ingin tampil dengan persembahan menarik ketika muncul di atas pentas. Keluar dari bawah pentas sudah saya lakukan dan saya ingat nak keluar dari atas pula, itu pun kalau diberi kebenaran. Saya sanggup lakukan.

“Setiap kali pembukaan majlis sebegini, pengacara mesti keluar dari belakang pentas jadi saya nak sesuatu yang berbeza. Saya akan berada di Genting Highlands lebih awal dan dalam tempoh itu juga saya tidak akan terbabit dalam mana-mana penggambaran filem mahupun drama,” katanya yang tidak sabar menantikan detik 8 April..

Pernah mengendali acara kemuncak Anugerah Planet Muzik (APM) di Singapura tahun lalu, ia memberi pengalaman buat Didie untuk tampil lebih cemerlang dalam mengacara anugerah besar sebegini.

Memilih pereka muda, Raffiey Nasir dari Butik Dewi Sofiea dalam menata rias busana yang akan diperaganya pada malam kemuncak itu nanti, Didie amat teliti dari segi rekaan, fabrik dan warna yang akan digunakan.

Salah satu Pakaian yang akan dipakai oleh Didie nanti.

Mahu dilihat gah dan mempesona dengan rekaan yang unik dan kreatif, Didie akan mengenakan tiga pasang pakaian untuk acara permaidani merah, mengacara dan post-party.

“Saya tahu ramai yang menantikan kemunculan saya pada malam kemuncak itu sebab mereka nak tengok apa pakaian yang akan saya peragakan nanti. Semua orang nak menang, tetapi saya lebih menumpukan tugas sebagai pengacara,” katanya yang turut dicalonkan dalam kategori Artis Komedi Wanita, bersama-sama Alliza Abdullah (Enot), Kenchana Dewi, Sharifah Shahira dan Noorkhiriah.

Kali pertama memilih Raffiey sebagai pereka busananya, Didie menganggap pereka berusia 25 tahun itu punya kreativiti dan idea tersendiri dalam menyerlahkan gaya penampilannya yang sinonim dengan pakaian yang unik.

Pernah mereka busana untuk artis seperti Alyah, Natasha Hudson, Fizz Fairuz dan Fizo Omar, pengalaman memperindahkan penampilan mereka tentunya memberi kelebihan kepada pereka ini untuk menyuntik kelainan dalam rekaan buat Didie.

“Sebenarnya ada pereka dari Johor yang menawarkan diri untuk menjadi pereka saya, tetapi saya memilih Raffiey kerana sudah lama mengenalinya,” katanya.

Ingin mempunyai jenama pakaian sendiri, Didie turut menyimpan impian bekerjasama dengan Raffiey dalam menghasilkan pakaian buat golongan muda menggunakan jenamanya itu.

“Saya pernah mengeluarkan minyak wangi sendiri, tetapi tidak bertahan lama kerana kekurangan bajet, jadi untuk merealisasikan impian saya ini, perlu ada peruntukan besar. Kalau tidak mereka pakaian sendiri, mungkin saya import dari luar saja, tetapi meletakkan jenama sendiri dan hanya rekaan itu ada di butik saya.

“InsyaAllah sebelum berusia 40 tahun, saya akan buka perniagaan ini. Kalau nak tumpukan kepada bidang lakonan dan pengacaraan saja tidak cukup, jadi kena ada sumber pendapatan lain. Sebab itu ramai artis baru tidak hanya menumpukan kepada bidang nyanyian atau lakonan, malah turut membuat lagu sendiri,” katanya yang juga menyimpan hasrat duduk di kerusi pengarahsuatu hari nanti.

Selain berlakon dan mengacara, Didie ingin mempunyai program bual bicara sendiri. Malah dia ingin menjelajah ke seluruh Asia dalam mengetengahkan fesyen dan budaya
di Asia.

Mengenali pengarah Michael Ang sejak tiga tahun lalu pula membuka laluan buat Didie untuk bergerak aktif dalam bidang lakonan, sejak terbabit dalam telefilem Wasiat Anak Dara.

“Bulan Mac saya akan mula penggambaran filem Oh! Mak Kau, bergandingan dengan kumpulan Sepah dan Wan Maimunah. Ia sebuah filem komedi dan watak saya pula seperti Angelina Jolie, cuma dalam bentuk komedi. Selain itu, saya juga akan terbabit dalam filem arahan Michael Ang, tetapi tajuk belum tahu lagi,” katanya yang pernah terbabit dalam telefilem Kum Kum dan Pontianak Kampung Batu.

Sumber: Berita Harian

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More